Social Icons

.

22 April 2012

Pembangunan di Mersing (Mersing Laguna)

Penduduk Mersing Diseru Rebut Peluang Pembangunan Mersing Laguna

MERSING: Kerajaan Negeri berharap penduduk Mersing mengambil peluang daripada kesan pembangunan Mersing Laguna yang akan mentransformasikan bandar itu kepada bandar ekopelancongan dalam tempoh kira-kira tujuh tahun.

Menteri besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman, berkata setiap golongan masyarakat di Mersing mempunyai peranan untuk menjayakan transformasi daerah itu supaya manfaatnya dapat dinikmati bersama.

"Majlis pecah tanah pada hari ini adalah sebagai tanda permulaan satu projek pembangunan Mersing sebagai sebuah bandar pelancongan. Pembangunan secara perkongsian bijak di antara Kerajaan Negeri dan swasta di atas tanah tebus guna seluas 809 hektar ini akan membabitkan pelaburan tidak kurang daripada RM4.5 bilion."

Sultan Johor, Sultan Iskandar sedang menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembangunan Mersing Laguna sambil diperhatikan oleh Abdul Ghani Othman (dua dari kanan), dan Ungku Safian Abdullah (kanan sekali).

Katanya, Kerajaan Negeri yakin projek itu akan membawa manfaat besar kepada hampir 100,000 penduduk Mersing sama ada secara langsung atau tidak langsung dari segi pewujudan peluang pekerjaan mahupun perkhidmatan daripada industri sokongan sektor pelancongan, di samping kesan limpahan kepada kegiatan ekonomi yang lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Resort Bersepadu di atas kawasan yang akan ditebus guna oleh sebahagian pesisiran pantai Mersing (Projek Mersing Laguna) di Dataran Pulau Mersing, di sini, baru-baru ini.

Turut berangkat ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Iskandar. Hadir sama ialah Presiden Power Constructions Corporation China, Ma Zong Lin dan Ketua Eksekutif Radiant Starfish Developement Berhad, Ungku Safian Abdullah.

Jelasnya lagi, untuk rekod, Mersing sudah terkenal dengan kekayaan alam sekitar terutamanya pesisir pantai dan gugusan kepulauannya yang terbanyak di Malaysia, terdiri daripada Pulau Sibu, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.

"Sejak dulu lagi, daerah Mersing dengan keluasan 2,800 kilometer persegi sudah termasyhur dengan pantai yang memanjang lagi memutih, sungai yang lebar lagi jernih, hutannya yang luas dan tertua, pulau-pulau yang banyak lagi indah, hasil buminya yang kaya lagi subur, sehingga menjadi tumpuan pengunjung dan pelabur," katanya.

Kawasan ekopelancongan Mersing Laguna akan dibangunkan dengan nilai pelaburan sebanyak RM22 bilion dan dijangka siap sepenuhnya pada 2019. Komponen pembangunan itu akan mewujudkan tiga buah pulau buatan yang merangkumi pembinaan 22 hotel, 4,000 vila dan pangsapuri, kemudahan marina seperti pangkalan khas tempat kapal layar, pelabuhan bot persiaran serta beberapa pusat komersial.

Projek berkenaan dibangunkan melalui kajian terperinci selama lima tahun dengan pelaksanaan kajian kesan alam sekitar dan sosioekonomi penduduk setempat. Apabila siap kelak ia dijangka dapat menawarkan 12,600 peluang pekerjaan di kawasan berkenaan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Iskandar menyempurnakan gimik perasmian pembangunan Mersing Laguna sambil diperhatikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman (kanan); Presiden Power Constructions Corporation China, Ma Zong Lin (empat dari kiri); Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (dua dari kanan) dan Ketua Eksekutif Radiant Starfish Developement Berhad, Ungku Safian Abdullah.

Pada majlis berkenaan, Sultan Ibrahim meminta agar penduduk Mersing memberikan kerjasama sepenuhnya kepada usaha menaik taraf bandar itu dengan mengetepikan sifat cemburu, menabur fitnah atau cuba mengkhianati usaha murni yang hendak dilaksanakan.

“Pihak pemaju dan kerajaan telah menjalankan kajian mendalam dengan mengambil kira semua faktor serta kesan projek berkenaan kepada penduduk dan alam sekitar.


“Suka saya ingatkan di sini supaya jangan ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan bertindak membuat bantahan atau tuntutan yang bukan-bukan untuk kepentingan diri sendiri atau kepentingan politik.

"Sebagaimana semua maklum, saya memang sering datang ke Mersing yang menjadi tempat permainan saya sejak kecil lagi. Oleh itu, saya sendiri akan sentiasa mengawasi kemajuan projek ini dan memastikan ia dibuat dengan baik. Sekiranya penduduk Mersing mempunyai masalah yang berkaitan dengan projek ini, maklumkanlah kepada Pegawai Daerah yang akan menyampaikan masalah tersebut kepada saya," titah baginda pada majlis pecah tanah projek pembangunan Mersing Laguna di Dataran Pulau, di Mersing. 

0 komen:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen yang diberikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog-blog ceria

Blog Rujukan