Social Icons

.

22 April 2012

Projek Pembangunan (RAPID) di Pengerang, Johor

Pengerang bakal bertaraf Rotterdam Asia

PENGERANG: Projek transformasi Pengerang sebagai hab minyak dan gas terbesar di rantau ini kini dalam fasa pertama pelaksanaannya dengan pembangunan terminal penyimpanan petroleum di atas kawasan seluas 202 hektar.

Kerajaan Johor mensasarkan tempoh 10 tahun untuk meletakkan Pengerang sebagai hab petrokimia dan minyak terbesar dunia sekali gus menandingi keupayaan negara jiran melaksanakan projek berkenaan. Bersandarkan kepada kepakaran dan penggunaan teknologi canggih, Pengerang mencapai sasaran itu berbanding Jurong, Singapura yang mengambil masa selama 20 tahun untuk mencapai tahap terbaiknya.

Menteri Besar, Dato' Hj Abdul Ghani Othman, berkata biarpun tidak mempunyai sumber minyak, Singapura adalah antara tiga pemain global terulung dalam industri, penapisan, perdagangan dan pembuatan produk serta kelengkapan minyak atau gas.

"Pengerang mempunyai pelbagai faktor semula jadi termasuk memiliki tanah yang luas, lokasi begitu strategik, berhampiran laluan perkapalan antarabangsa utama serta kemudahan pelabuhan laut dalam. Faktor inilah memudahkan jalinan kerjasama diadakan dengan rakan kongsi global dari aspek logistik dan pengedaran produk. Ia juga akan merangsang pertumbuhan usahawan tempatan dan serantau serta mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan," katanya.

Model projek terminal penyimpanan petroleum yang dibangunkan oleh syarikat Dialog sdn. bhd. di Pengerang yang dijangka siap pada 2014.


Pengerusi Pengerang Independent Terminal Sdn. Bhd., Ngau Boon Keat, berkata projek berkenaan mempunyai ciri-ciri semula jadi termasuk pelabuhan terlindung dengan kemudahan jeti sepanjang 1.9 kilometer dengan kedalaman air 24 meter yang berupaya menampung Very Large Crude Carriers (VLCCs) atau Ultra Large Crude Carriers (ULCCs).

"Apabila siap sepenuhnya pada 2014, kawasan itu akan berubah wajah seperti Pelabuhan Rotterdam di Belanda, sekali gus mampu beroperasi sebagai Rotterdam Asia.

"Kerja-kerja awal yang dilaksanakan ialah melakukan penambakan di kawasan berkenaan dan apabila dibangunkan ia akan menempatkan lima juta meter padu (m3) minyak loji simpanan dengan nilai pembangunan kasar RM5 bilion.

"Pembangunan projek ini dilihat bakal memberikan saingan berikutan lokasi strategik dan tawaran loji penapisan dan simpanan yang lebih besar," katanya ketika menyampaikan taklimat pembangunan Pengerang selepas lawatan khas media di sini, baru-baru ini.

Boon Keat berkata, fasa pertama projek berkenaan membabitkan kawasan seluas 60 hektar dengan kapasiti 1.3 m3 loji simpanan minyak serta tujuh dermaga dengan nilai pembangunan RM1.9 bilion.

"Projek yang dimulakan pada Oktober 2011 itu dijangka siap pada suku pertama 2014 manakala pembangunan bagi keseluruhan projek tiga fasa itu dijangka siap pada 2017. Pembinaan terminal laut dalam itu juga bakal membuka 5,760 peluang pekerjaan berkemahiran," katanya.

Jelasnya, projek itu dibangunkan secara kerjasama antara Vopak Terminals Malaysia Sdn Bhd, Dialog Group Berhad dan Kerajaan Negeri menerusi Unit Minyak dan Gas Johor.

Selain itu, jelasnya lagi, projek Pembangunan Loji Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas di Pengerang bernilai RM60 bilion dijadualkan siap pada 2016.

------------------------------------------------

Pembangunan Pengerang: Sultan ingatkan jangan buat tuntutan melampau



PENGERANG: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, mengingatkan penduduk Pengerang dan pihak tertentu supaya tidak mengambil kesempatan meminta pampasan melampau daripada pembinaan Projek Pembangunan Loji Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di kawasan itu.

Baginda berkata, bagi memastikan projek RAPID berjaya, penduduk perlu berkorban dan memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Ingin saya kongsikan sedikit mengenai kisah di sebalik projek lebuh raya penyuraian timur (EDL) dimana almarhum ayahanda saya berkorban dengan membenarkan lebuh raya itu dibina berhampiran kawasan istana dan pada masa sama memberikan sebahagian tanah miliknya untuk dijadikan tapak perumahan bagi penduduk setinggan yang terlibat dalam projek berkenaan.

"Dengan cara itu kos pembinaan dapat dikurangkan dan pembangunan berjalan lancar. Begitulah contoh pengorbanan yang harus dibuat demi kepentingan ramai.

"Jadi, suka saya ingatkan kepada penduduk yang terbabit, janganlah mengambil kesempatan dengan meminta pampasan yang melampau dan tidak masuk akal, sebaliknya ikutlah yang munasabah dan bersesuaian dengan nilai semasa," titah baginda.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menanam pokok Jati Laut berhampiran rumah contoh di Kg Dato' Abdul Ghani Othman.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menanam pokok Jati Laut berhampiran rumah contoh di Kg Dato' Abdul Ghani Othman.

Sultan Ibrahim bertitah demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran RAPID di sini hari ini.

Titah baginda, penduduk terbabit seharusnya berfikir panjang dan memandang jauh ke depan jika ingin mencapai kemajuan.

"Saya ada terdengar suara sumbang yang seakan-akan mahu menolak pembangunan yang hendak dibawakan kerajaan dan tidak mahu berubah. Jika tidak mahu berubah, maka penduduk di sini akan terus tersisih dan terpinggir daripada arus pembangunan.

"Saya amat kesal dengan segelintir penduduk yang menentang pembangunan selain kumpulan yang mengambil kesempatan untuk menghasut penduduk Pengerang supaya membuat bantahan dan membuat permintaan yang tidak munasabah.

"Semua rakyat di Johor adalah rakyat saya, jadi saya akan pastikan tidak ada rakyat saya yang ketinggalan dalam arus pembangunan," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, rakyat perlu merebut peluang ini kerana projek itu adalah untuk kebaikan penduduk dan generasi akan datang.

Baginda bertitah, sudah tiba masanya masyarakat di kawasan itu berubah ke arah kehidupan yang lebih terjamin dengan sumber pendapatan lebih baik dalam sektor ekonomi moden.

"Peluang besar ini terbuka luas untuk penduduk di sini, jadi rebutlah peluang dengan persiapkan anak cucu kita dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian dalam bidang teknikal serta kejuruteraan petroleum.

"Dengan adanya projek ini, masa depan generasi muda akan lebih terjamin melalui peluang pekerjaan serta pendapatan yang baik. Selain itu, golongan tua juga terbela apabila anak cucu mereka tidak perlu berhijrah ke tempat lain untuk mencari pekerjaan," titah baginda.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan menjalin kerjasama erat bagi memastikan pelaksanaan Projek RAPID mematuhi perancangan sosial yang sempurna.

Katanya, kerjasama itu bertujuan memastikan masyarakat di Pengerang mendapat manfaat daripada pembangunan itu.

“Kita mahu kehidupan penduduk Pengerang bukan sahaja tidak terjejas, malah menjadi lebih baik.

“Ini sentiasa menjadi antara agenda penting dalam pembangunan RAPID dan sebab itulah tempat perpindahan penduduk disediakan terlebih dahulu sebelum projek ini dilaksanakan,” katanya.

Katanya lagi, RAPID juga bakal membuka lembaran baru dari segi pembangunan tenaga mahir kerana projek itu bukan sahaja menyediakan berpeluang pekerjaan bagi rakyat Johor, tetapi juga seluruh Negara.

“Dengan adanya pembangunan seumpama ini, ia akan meningkatkan kemahiran serta kemampuan warga tempatan yang ingin menceburkan diri dalam industri minyak dan gas serta sektor-sektor yang berkaitan,” katanya.


Liputan :

0 komen:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen yang diberikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog-blog ceria