Social Icons

.

30 July 2012

7 Anggapan Biasa Yang Salah Tentang Puasa

Ada beberapa anggapan, pegangan dan salah sangka tentang puasa dalam masyarakat kita. Mereka menganggap batal ataupun kurang pahala akibat beberapa perbuatan tertentu, sedangkan tiada dalil yang menyokong pendapat mereka. Sebahagian pendapat itu khilaf dan telah disebut oleh beberapa ahli fekah dahulu, tetapi dilihat tidak kukuh untuk dipegang ataupun ada ruang untuk disemak semula. 


1. Mandi Ketika Berpuasa

"Mandi ataupun basuh kepala apabila terlalu keletihan mengurangkan pahala puasa." 
"Semasa puasa, mandi selepas asar makruh." 

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya dan Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” 

2. Memasukkan ke Rongga

"semasa puasa tidak boleh memasukkan apa-apa benda ke dalam mata, telinga dan mulut, sekalipun bukan makanan dan minuman." 

Ini menyebabkan mereka yang gatal telinga ataupun hidung menderita sepanjang hari berpuasa. Ia berlawanan dengan sifat Islam yang mudah. berasaskan riwayat kenyataan Ibn ‘Abbas: “Membatalkan puasa itu apa yang masuk, bukan apa yang keluar.” [Riwayat Ibn Abi Syaibah, sahih]

‘Apa yang masuk’ itu bermaksud makanan ataupun minuman ataupun yang mempunyai fungsi yang sama seperti makanan dan minuman yang masuk ke dalam jasad. Jika sekadar alatan tertentu maka ia tidak termasuk dalam maksud ini. Jika tidak mereka yang memasukkan berus gigi ataupun kayu sugi ke dalam mulut, ataupun berkumur semasa puasa tentu dianggap batal. 

3. Tidak Mandi Junub

"Tidak sah puasa mereka yang belum mandi junub sedangkan waktu subuh sudah masuk." 

Ini berkaitan seseorang yang bersetubuh dengan isterinya, ataupun keluar air mani tetapi belum mandi junub sehingga masuk waktu subuh iaitu waktu berpuasa. 

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah dan Ummu Salamah bahawa “Nabi s.a.w pada waktu pagi (subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan baginda berpuasa. Baginda berpuasa dan tidak berbuka (disebabkan hal itu)” [Riwayat al-Bukhari]

4. Muntah

"Sesiapa yang termuntah maka batal puasa." 

Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang termuntah tidak wajib qada (ganti puasa). Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah dia qada.” [HR al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Jarud dan Ibn Hibban]. 

Maka sesiapa yang termuntah kerana tidak tahan dengan sesuatu bau ataupun mabuk perjalanan tidak wajib qada kerana puasanya sah. Sesiapa yang memaksa diri untuk muntah maka dia wajib menggantikan puasanya.

5. Imsak

"Sesiapa yang makan ketika hampir subuh iaitu bukan pada waktu imsak yang difahami oleh sesetengah pihak, maka puasanya tidak sah". 

Ini kerana mereka menganggap puasa bermula beberapa puluh ataupun belasan minit sebelum subuh. Padahal waktu puasa bermula apabila masuknya waktu subuh. 

Firman Allah: “Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” [Surah al-Baqarah: 187]. 

Sabda Nabi s.a.w pula: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim].

6. Musafir

"Seseorang yang bermusafir jika berkemampuan wajib berpuasa, jika tidak dia berdosa." 

Ini berlainan dengan ayat Allah dalam al-Quran: “..dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti) pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” [Surah al-Baqarah: 185].

7. Tidak Sengaja

Perbuatan yang tidak sengaja, dipaksa ataupun terlupa seperti makan dan minum tidak membatalkan puasa. Sekalipun seseorang itu telah makan dan minum dengan banyak sekali. 

Sabda Nabi s.a.w: “Sesiapa yang lupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, maka sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberikan dia makan dan minum” [Riwayat al-Bukhari].

Demikianlah semua perbuatan yang tidak sengaja ataupun terlupa. Termasuk terkeluar air mani disebabkan mimpi atau terfikir secara yang tidak diusahakan. Jumhur ulama menyatakan tidak batal puasa. 

Juga termasuklah tertelan air semasa mandi ataupun hujan ataupun suri rumah yang terbiasa merasa makanan ketika masak lalu memakannya kerana lupa, kesemua itu tidak membatalkan puasa. 

sumber: Dr MAZA

4 komen:

Terima kasih di atas komen yang diberikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog-blog ceria

PENAFIAN

Laman web ini dan bahan yang disediakan "sebagaimana adanya" dan "sebagaimana tersedia", tanpa jaminan jenis apapun, sama ada tersirat atau tersurat mahupun dari segi undang-undang. Penulis tidak bertanggungjawab ke atas setiap kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan setiap maklumat atau bahan yang diperolehi dari laman web ini.