Social Icons

.

24 November 2012

Mercu Tanda Muar Bandar Diraja


MUAR 21 Nov. - Mercu tanda di bulatan Sulaiman, di bandar ini yang dibina sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja dengan kos lebih RM1 juta dibuka kepada umum sepenuhnya hari ini.

Monumen itu yang mempunyai identiti tersendiri dengan empat gading gajah gergasi di setiap sudut dan mahkota di bahagian atasnya mula dibina kira-kira dua bulan lalu di kawasan strategik iaitu di tengah-tengah bandar ini.

Binaan yang begitu signifikan itu mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada kerajaan negeri dan dilengkapi dengan laluan pejalan kaki, air pancut, landskap dan lampu warna warni yang mencantikkan lagi bandar ini pada waktu malam.

Bulatan di mercu tanda itu dapat menghubungkan lima jalan utama di bandar ini iaitu Jalan Arab, Jalan Khalidi, Jalan Ibrahim, Jalan Sulaiman dan Jalan Temenggong Ahmad.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, penggunaan gading gajah dan mahkota sebagai identiti mercu tanda itu sebenarnya melambangkan keistimewaan negeri ini selain pengaruh Kesultanan Johor.

"Mercu tanda tersebut menggunakan empat gading gajah bagi melambangkan negeri ini suatu masa dahulu mempunyai bilangan gajah dan binatang liar yang banyak semasa Sultan Abu Bakar membuka negeri ini yang mulanya hutan belantara.

"Sebab itu kita juga gunakan gading gajah di Istana Besar (di Johor Bahru), ini adalah tradisi Johor. Gajah adalah binatang yang kuat dan perkasa, jadi ia adalah simbolik yang melambangkan kekuatan dan keagungan," katanya.

Abdul Rahim berkata, pemilihan mahkota di atas mercu tanda tersebut kerana Kesultanan Johor merupakan yang pertama mempunyai mahkota sendiri berbanding kesultanan Melayu yang lain.

Beliau memberitahu, negeri ini mula mempunyai mahkota pada 1886 yang ketika itu direka khas di London dan Kesultanan Johor menempa sejarah tersendiri dengan memilikinya.

Sementara itu, sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja selama lima hari lima malam bermula malam ini dengan majlis tahlil dan doa kesyukuran di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, di sini.

Sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor, majlis pengurniaan bintang kebesaran serta pingat berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini esok iaitu yang pertama kalinya diadakan di luar Istana Besar di Johor Bahru sejak 125 tahun lalu.

Perisytiharan bandar Muar sebagai Bandar Diraja pula akan dilakukan di Dataran Tanjung Emas, Sabtu ini dan sepanjang lima hari itu pelbagai acara serta program menarik disediakan yang dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung.

0 komen:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen yang diberikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog-blog ceria

PENAFIAN

Laman web ini dan bahan yang disediakan "sebagaimana adanya" dan "sebagaimana tersedia", tanpa jaminan jenis apapun, sama ada tersirat atau tersurat mahupun dari segi undang-undang. Penulis tidak bertanggungjawab ke atas setiap kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan setiap maklumat atau bahan yang diperolehi dari laman web ini.