Social Icons

.

22 December 2012

Sejarah Nama Tempat di Johor (Bhgn 2)

[Sambungan dari Bhgn 1...]


1. Kampung Belukar Juling, Mersing
Pada awal penubuhannya, di kampung belukar juling dikatakan terdapat seorang lelaki cina bermata juling yang tinggal di situ kerana kawasannya yang jauh dan berdekatan dengan laut. Pada suatu hari, lelaki cina itu dikatakan telah membersihkan kawasan tersebut untuk menanam pokok getah. Namun, apabila semuanya selesai lelaki berkenaan hilang tanpa dapat dikesan. Akhirnya kawasan tersebut telah ditumbuhi semak dan belukar. Ketika kawasan itu mahu dijadikan kawasan petempatan, penduduk di situ menamakan kawasan berkenaan sebagai belukar juling, sempena lelaki cina bermata yang membersihkan kawasan itu. Walaupun identiti lelaki bermata juling itu tidak diketahui sehingga ke hari ini, nama belukar juling kekal hingga sekarang. 

2. Felda Ulu Dengar, Kluang. 
Felda ini mendapat namanya sempena sungai dengar yang terletak berdekatan dengan gunung belumut. Desiran air sungai berkenaan bukan sahaja boleh didengar malah dapat dinikmati sepanjang sungai berkenaan dan boleh dilihat jika pengunjung serta penduduk menyelusuri sungai berkenaan. Namun, dikatakan ketika itu aliran air di hulu sungai tidak dapat dilihat dan hanya bunyi derasannya yang dapat didengar dari kawasan berhampiran. Menurut penduduk di felda ini, pada ketika itu, mereka yang menyelusuri sungai itu tidak dapat melihat air yang mengalir di hulu sungai dan hanya dapat mendengar bunyinya sahaja. Apabila felda ini diwujudkan, nama Ulu Dengar digunakan sempena keunikan suasana di hulu sungai berkenaan. 

3. Kampung Liang Batu, Pagoh. 
Nama kampung ini diperoleh sempena satu peristiwa, iaitu air yang mengalir melalui liang (terowong) menghala ke Sungai Muar. Apabila air itu hampir tiba di Sungai Muar, ia membelok ke kiri. Air yang melalui liang berkenaan jatuh ke batu yang dikatakan disusun oleh Sang Kelembai untuk menagkap ikan. Berikutan peristiwa ini, kampung berkenaan diberikan nama Kampung Liang Batu. 

4. Kampung Durian Chondong, Muar. 
Kampung yang terletak di Muar ini mendapat namanya sempena keadaan pokok leban dan durian di kampung itu yang hampir kesemuanya berada pada kedudukan condong. Keadaan itu dipercayai disebabkan struktur tanah di kampung itu yang berpasir. Menurut cerita dari penduduk kampung berkenaan, pada ketika kampung itu ingin dibuka, terdapat banyak pokok leban dan durian di sekitar kampung berkenaan. Bagi mangabadikan suasana alam ketika itu dan keadaan kedua-dua buah berkenaan, penduduk kampung menamakannya sebagai Kampung Durian Chondong. Ejaan chondong adalah sistem ejaan lama tetapi ia kekal digunakan hingga sekarang walaupun ejaan sebenar ialah condong. 

5. Bandar Penggaram, Batu Pahat. 
Nama penggaram diperoleh daripada perkataan ‘pangkal jeram’, sempena jeram yang terdapat di sebatang sungai yang terletak berhampiran Bandar Batu Pahat. Apabila bandar berkenaan dibuka, ia dinamakan Bandar Penggaram sempena singkatan ‘pangkal jeram’. 

6. Kampung Kayu Ara Pasong, Pontian. 
Nama kampung ini diperoleh sempena keadaan alam semula jadi di sepanjang sungai di kampung berkenaan. Pada masa kampung ini mula dibuka, di sepanjang bahagian kiri dan kanan sungai berkenaan terdapat banyak pokok kayu ara yang tumbuh meliar dan akarnya dikatakan berpasung (berbelit dan berpintal) antara satu sama lain. Sempena keadaan itu, penduduk menamakan kampung itu Kampung Ayu Ara Pasong.

7. Kampung Serom, Sg Mati, Ledang
Dibuka pada awal tahun 1600. Nama asal Kampung Serom dipercayai diambil daripada perkataan “Seram” dan “Harum”. Orang pertama yang dipercayai membuka Kampung Serom ialah Datuk Penghulu Abdullah yang sangat dihormati dan disanjung pada masa itu. Abdullah dikatakan berketurunan Jawa yang datang dari Pulau Jawa, Indonesia bersama 30 orang pengikut. Pada satu ketika beliau dan pengikutnya telah tersesat di sebuah hutan tebal yang banyak dihuni binatang liar. Setelah berpenat lelah dan usaha mencari jalan keluar tidak berhasil, Abdullah tergerak untuk meneroka kawasan itu dan dipersetujui oleh pengikutnya. Beliau kemudian dilantik menjadi ketua dan digelar Penghulu di kalangan pengikut-pengikutnya. Diceritakan juga, pengikut Abdullah percaya kawasan mereka tersesat itu berhantu yang menyebabkan mereka tidak dapat mencari jalan keluar. Menurut kepercayaan, hantu-hantu tersebut menjadi marah kerana tempat tinggal mereka telah diganggu. Selang beberapa hari kemudian, beberapa orang telah terhidu sesuatu yang harum di kawasan hutan itu. Keadaan itu menimbulkan kegelisahan di kalangan pengikut Abdullah kerana berasa seram dan takut. Bau harum itu juga selalu menganggu kehidupan mereka. Berdasarkan peristiwa tersebut, kumpulan pengikut Abdullah ingin memberi nama kawasan itu dengan nama "Harum" sementara sebahagian yang lain ingin memberi nama "Seram". Akhirnya terjadilah perbalahan di antara mereka, namun dapat diselesaikan dengan mudah oleh Datuk Penghulu Abdullah. Beliau telah mencadangkan agar nama kampung tersebut diberi nama “Serom” menggantikan nama asalnya iaitu “Seram” dan “Harum”. Akhirnya mereka bersetuju kawasan petempatan mereka dinamakan sebagai “Serom”.

0 komen:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen yang diberikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog-blog ceria

PENAFIAN

Laman web ini dan bahan yang disediakan "sebagaimana adanya" dan "sebagaimana tersedia", tanpa jaminan jenis apapun, sama ada tersirat atau tersurat mahupun dari segi undang-undang. Penulis tidak bertanggungjawab ke atas setiap kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan setiap maklumat atau bahan yang diperolehi dari laman web ini.