Social Icons

.

06 June 2013

KENYATAAN MEDIA TUNKU MAHKOTA JOHOR

KENYATAAN MEDIA 
OLEH DYAM TUNKU ISMAIL IBNI SULTAN IBRAHIM, TUNKU MAHKOTA JOHOR
BERTARIKH 5 JUN 2013
Melihat keadaan semasa dalam FAM, sukar membayangkan akan berlaku peruahan-perubahan positif dalam landskap bolasepak Negara ini. Mungkin dua puluh tahun daripada sekarang pun, kita akan menghadapi kemelut yang sama. Kita lebih gemar mengundang pasukan-pasukan luar seperti Chelsea untuk beraksi di sini, tetapi mengabaikan pembangunan bakat baru dari kalangan belia dan hal-hal kritikal berkaitan bolasepak Negara.

Apabila saya dikenakan tindakan penggantungan selaku presiden PBNJ, saya dimaklumkan bahawa tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang. Sebelum ini, segala hukuman akan dijatuhkan oleh Lembaga Disiplin dan Tatatertib FAM. Tetapi dalam kes Pahang menentang Johor Darul Takzim dalam perlawanan separuh akhir Piala FA, hukuman telah dijatuhkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan. Kita juga tidak diberikan ruang untuk membuat sebarang rayuan atas denda tersebut. Pada saya, ianya bukanlah soal kewangan, tetapi soal keadilan dalam layanan terhadap persatuan-persatuan bolasepak. Ini jelas menunjukkan bahawa FAM boleh membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya.

Saya pernah menyuarakan tentang mutu pengadil yang mengadili perlawanan bolasepak tempatan. Pada masa kini, pengadil perlawanan bolasepak liga tempatan adalah berstatus semi-profesional, dan dengan itu, boleh dikatakan berada pada tahap amatur. Oleh kerana menyuarakan berkenaan isu tersebut, saya telah didenda dan digantung. Ramai sebelum saya juga telah menerima nasib yang sama, semua kerana memberikan pendapat dan cadangan bagi mempertingkatkan mutu bolasepak Negara ini. Mengapa tidak boleh menyuarakan pendapat dan memberi pandangan? Isu-isu penting dalam bolasepak Negara harus diberi perhatian dan diketengahkan. FAM tidak membenarkan persatuan-persatuan dan individu menyuarakan sebarang pendapat atau pandangan. Jadi bagaimana saya hendak memberi pandangan dan berkongsi pendapat berkenaan hal-hal penting berkaitan bolasepak, jika FAM seolah-olah keberatan untuk bekerjasama? Saya telah menulis surat-surat kepada FAM termasuk surat berkaitan mutu pengadilan di Negara ini, namun tidak mendapat maklum balas. Saya menyuarakan pendapat saya kepada media kerana rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui situasi sebenar. Bolasepak bukan suatu entiti persendirian milik mana-mana individu, ianya adalah untuk semua lapisan rakyat.

FAM sepatutnya berterima kasih kepada Johor kerana menjadikan arena bolasepak tempatan lebih menarik dan meriah. Setiap perlawanan melibatkan JDT disambut dengan kehadiran ramai penyokong di stadium, selain penonton yang ramai dalam siaran televisyen. Syabas juga diucapkan kepada pasukan Kelantan, Selangor, ATM dan pasukan-pasukan lain kerana menambahbaik landskap bolasepak tempatan. Oleh yang demikian, bolasepak Malaysia menjadi lebih dinamik dan kompetitif.

Satu lagi perkara yang saya ingin sentuh adalah berkaitan dengan pendapatan daripada siaran langsung perlawanan bolasepak oleh Astro. Saya dimaklumkan bahawa untuk setiap perlawanan yang ditayangkan secara langsung di televisyen, persatuan bolasepak tuan rumah akan menerima RM15,000. Sehingga kini, saya masih belum melihat satu sen pun daripada hasil tersebut.

Semalam, PBNJ telah menerima satu surat amaran, supaya tidak membuat lagi sebarang kenyataan media mengkritik FAM. Pihak FAM hendaklah tidak mengambil kesempatan untuk mengenakan denda kepada PBNJ bagi kenyataan ini, kerana saya mengeluarkannya selaku Tunku Mahkota Johor, dan bukannya selaku presiden PBNJ yang digantung. Kenyataan ini bukan bertujuan untuk membelakangkan mana-mana individu atau persatuan bolasepak, tetapi untuk mengetengahkan isu-isu penting dalam bolasepak tempatan. Sekiranya FAM merasakan perlu untuk mengenakan denda terhadap saya, saya akur. 

Ada yang menasihati saya supaya bertanding untuk jawatan dalam FAM, tetapi saya ingin menegaskan bahawa saya tidak berminat terhadap sebarang jawatan dalam FAM. Sejujurnya, saya akan mengutamakan Johor, dan oleh yang demikian, saya tidak layak memegang sebarang jawatan dalam FAM. Saya melakukan semua ini hanya kerana cinta terhadap sukan bolasepak. Mereka yang memegang jawatan dalam FAM mestilah telus dan adil kepada semua pasukan yang bersaing dalam liga tempatan. Keutamaan mereka mestilah untuk meningkatkan kualiti bolasepak dalam Negara. 

Sumber: JOHOR FAN CLUB

0 komen:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen yang diberikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog-blog ceria

Blog Rujukan