Social Icons

.

29 June 2013

Peminat Bertambah: Adakah FAM Bersedia?

APABILA peminat bolasepak di Malaysia meningkat secara mendadak dalam tempoh yang singkat, apa kahimplikasinya? 

Semua sedia maklum bahawa rakyat Malaysia kini sudah kembali meminati sukan bola sepak negara, khususnya dalam kancah Liga Super dan saingan Piala FA.


Difahamkan, jumlah peminat semakin meningkat setelah skuad Harimau Malaya berjaya memenangi pingat emas di Sukan Sea 2009 dan menjadi johan Piala Suzuki AFF 2010.

Kejayaan ini telah membawa semangat baru kepada peminat negara sejak zaman kegemilangan bola sepak pada tahun 70-an.

Pertambahan peminat ini juga sedikit sebanyak dibantu oleh prestasi semasa pasukan negeri seperti yang dilakukan The Red Warriors (TRW) yang berjaya meraih treble, tahun lalu.

Tahun 2013 pula menyaksikan peningkatan ketara peminat di Johor setelah revolusi pasukan bola sepak Johor dilakukan dan melahirkan skuad Johor Darul Takzim (Johor DT) yang terdiri daripada pemain ternama.

Persoalannya, adakah peningkatan mendadak peminat bola sepak ini selari dengan kemampuan dan kemajuan dunia bola sepak di negara ini?

Adakah badan-badan lain seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pengurusan stadium dan anggota keselamatan selari dengan pertambahan mendadak jumlah peminat ini?

Jika diambil contoh terdekat, insiden pembelian tiket Final Piala FA, baru-baru ini, yang menyaksikan berlakunya rusuhan peminat akibat tiket habis dijual dalam tempoh tidak sampai 15 minit.

Tiket tersebut habis dijual walaupun seawal 10 minit selepas kaunter tiket dibuka pada jam 9 pagi semalam.

Kebanjiran peminat ini juga dapat dilihat ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA ketika Pahang menentang Johor DT di Stadium Darul Makmur, 28 Mei lalu. 

Perlawanan itu terpaksa dibatalkan gara-gara limpahan penonton yang akhirnya mengheret kepada senario kekecohan.

Perlawanan yang sepatutnya bermula pada jam 8.45 malam itu terpaksa ditangguhkan selama lebih sejam kerana berlaku limpahan penonton memasuki stadium iaitu kira-kira 40,000 orang.

Peningkatan jumlah peminat ini juga tidak disokong oleh faktor keselamatan dalam stadium kerana jika dilihat dalam perlawanan yang sengit, jumlah anggota keselamatan masih lagi kurang.

Anggota keselamatan seharusnya ditambah di setiap perlawanan bola sepak membabitkan pasukan yang mempunyai jumlah peminat yang ramai seperti Kelantan, Pahang dan Johor DT.

Aspek keselamatan ini juga perlu disokong dengan kemudahan stadium yang baik termasuk jumlah tempat duduk yang banyak dan aliran pintu masuk yang lebih teratur.

Aliran pintu masuk ini penting bagi mengelakkan insiden peminat terpaksa bersesak-sesak untuk keluar masuk stadium akibat jumlah penyokong yang terlalu ramai.

Hari ini akan berlangsungnya perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan menentang Johor DT di Stadium Bukit Jalil.

Peminat sukan pastinya akan melihat stadium nasional ini dibanjiri penyokong kedua-dua pasukan sehingga tiada kerusi dan ruang yang kosong.

Semua pihak perlu mengambil serius peningkatan mendadak peminat sukan bola sepak. Ini kerana jika hanya peminat sahaja yang bertambah, tetapi kumpulan sokongan masih lagi ditakuk lama, Malaysia sukar untuk mengekal 'aura' peminat ini dalam tempoh yang lama.

Ini terbukti pada tahun 90-an di mana stadium kekurangan penonton dan peminat tidak menyokong pasukan mereka kerana prestasi yang merudum ketika itu.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga perlu memainkan peranan sebagai badan yang berfungsi mengawal selia kemajuan sukan bola sepak negara.

Diharap, Menteri KBS yang baru, Khairy Jamaluddin dapat memberi nafas baru kepada masalah ini supaya peminat di negara ini dapat terus bertambah dan mutu bola sepak negara setaraf dunia luar.

0 komen:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen yang diberikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog-blog ceria

PENAFIAN

Laman web ini dan bahan yang disediakan "sebagaimana adanya" dan "sebagaimana tersedia", tanpa jaminan jenis apapun, sama ada tersirat atau tersurat mahupun dari segi undang-undang. Penulis tidak bertanggungjawab ke atas setiap kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan setiap maklumat atau bahan yang diperolehi dari laman web ini.