Social Icons

.

12 October 2014

BAJET 2015: KENYATAAN MENTERI BESAR JOHOR

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR JOHOR MENGENAI BAJET 2015

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah, kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya negara kita terus kekal aman dan makmur disamping dikurniakan pelbagai sumber rezeki untuk dinikmati oleh rakyatnya.

Mewakili rakyat Johor, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak kerana perbentangan Bajet 2015 sebentar tadi dilihat banyak memberi manfaat kepada rakyat secara umumnya. Ia sekali gus selari dengan prinsip yang dipegang oleh Kerajaan Negeri iaitu Pembangunan Pro-Rakyat, Merakyatkan Kerajaan dan Muafakat Johor.

Seperti semua sedia maklum, peningkatan kos sara hidup di Negara kita kebelakangan sememangnya menjadi kebimbangan kepada setiap lapisan rakyat. Justeru, Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam memastikan bebanan rakyat dalam menghadapinya dapat diatasi. Ia termasuklah dengan penurunan kadar cukai pendapatan individu daripada 1 hingga 3 mata peratusan yang mana ini bermaksud sebanyak 300,000 rakyat tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan.

Sebagai sebuah negeri yang menjadi pelopor kepada pembinaan rumah mampu milik di negara ini, maka Kerajaan Negeri Johor menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan dalam memastikan lebih ramai rakyat mampu memiliki kediaman sendiri. Saya yakin dan percaya, dengan pelbagai inisiatif perumahan yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib dalam perbentangan Bajet 2015 sebentar tadi, akan lebih banyak rumah mampu milik dapat dibina bukan sahaja di negeri Johor malah di seluruh negara.

Seperti semua sedia maklum, Kerajaan Negeri Johor sentiasa menggalakkan rakyat di negeri ini untuk menceburi bidang keusahawanan. Ia supaya kepesatan ekonomi di Johor akan dapat dinikmati oleh setiap lapisan rakyat di negeri ini. Atas sebab itulah, Kerajaan Negeri turut menyambut baik usaha Kerajaan Pesekutuan dalam menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk para usahawan di negara ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan dalam membantu rakyat yang menghadapi penyakit serius seperti jantung, buah pinggang dan kencing manis dengan pemberian pengecualian cukai sebanyak RM5,000 setahun dan penambahan mesin haemodialisis di beberapa hospital dan klinik kesihatan selain penambahan sebanyak 30 Klinik 1Malaysia di seluruh negara. Kerajaan Negeri turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana merancang pembinaan Klinik Gigi di daerah Kluang.

Akhir sekali, saya melihat perbentangan Bajet 2015 kali ini jelaslah menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dengan keperluan dan kehendak rakyat. Diharapkan dengan setiap apa yang kita rancang ini akan mendapat keredhaan Allah SWT. Semoga Malaysia mampu menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Insya-Allah.

Sekian.

MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR

10 OKTOBER 2014

0 komen:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen yang diberikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog-blog ceria

PENAFIAN

Laman web ini dan bahan yang disediakan "sebagaimana adanya" dan "sebagaimana tersedia", tanpa jaminan jenis apapun, sama ada tersirat atau tersurat mahupun dari segi undang-undang. Penulis tidak bertanggungjawab ke atas setiap kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan setiap maklumat atau bahan yang diperolehi dari laman web ini.